Sistem Menanam[1] Padi

Padi dalam longkang di Perak

Sistem Mengubah

  • Menanam secara manual

Dalam sistem mengubah memerlukan penyediaan tapak semaian yang dipilih di kawasan yang agak tinggi dari keadaan sekeliling. Lebar tapak biasanya 1-2 meter dan panjangnya pula bergantung kepada kemudahan untuk mengurus air. Tanah dibajak 2 kali iaitu pertama untuk mendapatkan keadaan permukaan tanah yang baik. Seterusnya tapak ditambak setinggi kira-kira 5-10 cm dari paras biasa dan diratakan.

Anak padi ditanam mengikut barisan untuk menyenangkan kerja-kerja pengurusan kelak. Tiap-tiap lubang ditanam sebanyak 2-3 pokok. Anak padi ditanam tegak dan tidak terlalu dalam supaya pengeluaran tunas tidak terganggu. Jarak tanaman tidak melebihi 25 cm x 25 cm untuk hasil optimum.

  • Menanam menggunakan jentera penanam

Boleh diamalkan terutama di kawasan di mana tabur terus tidak boleh diamalkan serta bagi kawasan yang mengalami masalah padi angin (klik lihat ulasan mengenai padi angin) dan juga sesuai bagi kawasan yang kekurangan tenaga kerja. Mengubah dengan menggunakan jentera penanam memerlukan anak semai dalam kotak khas. Kadar benih yang disyorkan ialah 50 kg/hektar.

Media semaian disediakan dengan campuran 50% sekam padi terbakar dan tebal media ialah 2-2.5 cm dipadatkan. Benih terpilih direndam selama 24 jam dan ditoskan selama 48 jam untuk memudahkan percambahan. Benih pracambah ditabur dalam kotak semai khas dengan kadar 200 g/kotak. Semaian dibiar bercambah 2-3 hari dan kemudian dipindah ke rak takungan untuk direndam. Semaian dijaga sehingga 15 hari atau tinggi semaian diantara 15-20 cm sebelum diubah dengan jentera penanam.

Sistem Tabur Terus

Sistem tabur terus iaitu serak basah dan serak kering. Tabur terus serak basah diamalkan secara meluas sekarang. Benih yang telah bercambah ditabur terus ke kawasan sawah dalam keadaan tepu. Bagi serak kering pula, biji benih pracambah ditabur ke kawasan sawah kering selepas penyediaan tanah. Tanah kemudiannya akan dipadatkan selepas benih ditabur. Bagi kedua-dua sistem ini kadar biji benih yang disyorkan ialah 60 kg/hektar.

Sistem Keamatan Padi (SRI)

Maklumat lanjut: Sistem Keamatan Padi

Sistem tanaman padi secara SRI mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 2009. Kaedah sistem ini berbeza dengan amalan tanaman secara konvensional. Anak benih padi dipindahkan dan ditanam dalam usia kurang 15 hari dan dijarakkan diantara satu sama lain. Tanah sawah hanya dibiarkan lembab. Kadar benih yang digunakan hanya 5 kg/hektar. Sistem ini dapat menjimatkan penggunaan air sehingga 50% dan meningkatkan hasil padi.